KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang melompat parti bukan satu pengkhianatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, mereka hanya mahu mengembalikan mandat rakyat kepada PH yang telah memenangi negeri itu pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Apabila kita sebut istilah pengkhianat, khianat kepada siapa? Naratifnya seperti yang disebut oleh PH Melaka, Keadilan, DAP dan Amanah, empat (ADUN) itu menarik sokongan untuk membolehkan parti yang mendapat mandat dalam pilihan raya lalu kembali berkuasa.

“Maknanya dia bukan khianat amanah kepada rakyat. Dia bincang bersama PH Melaka dengan sikap yang jelas untuk mengembalikan mandat yang dirampas,” jelas Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab beberapa persoalan tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi Facebook pada Ahad.

 
Sumber Facebook anwaribrahimofficial

Pada masa sama, Anwar menjelaskan keadaan seperti itu bukan sesuatu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

"Ia pernah berlaku di Sabah, sejurus selepas pilihan raya di mana beberapa ADUN UMNO menyeberang menyokong Warisan.

"13 Ahli Parlimen UMNO diminta dan akhirnya menyeberang kepada Bersatu, di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad). Ini berlaku tetapi apa yang berlaku pada PRN Melaka kali ini, ia seolah-olah satu kejutan baharu," tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi. 

BACA: Anwar, Mahathir pun pernah lompat - Shamsul Amri 

Sebelum ini, dua bekas ADUN UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan disahkan bakal bertanding di bawah tiket PH pada PRN Melaka.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dipertaruhkan di kerusi DUN Asahan manakala Nor Azman yang sebelum ini memenangi kerusi DUN Pantai Kundor atas tiket UMNO, dikekalkan di kerusi berkenaan.