MELAKA: Barisan Nasional (BN) mengakui kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjejaskan gerak kerja parti itu.

Pengerusi Lembaga Penasihatnya , Datuk Seri Najib Razak berkata kekangan itu menuntut bukan sahaja calon, sebaliknya jentera parti itu untuk lebih kreatif dalam memastikan matlamat yang dibawa sepanjang tempoh berkempen, sampai kepada pengundi.

“Kita masih ada peluang yang baik tetapi salah satu kekuatan kita agak tumpul kali ini kerana kekuatan parti ada pada jentera.

“Jentera BN adalah yang terbesar dan kemampuan itu telah terbukti. (Kali) ini kekangan amat besar kepada kita untuk menggerakkan jentera semaksima mungkin, namun seperti diperkatakan sebelum ini kita (parti) kena kreatif dalam mengikuti SOP ini supaya kita dapat capai matlamat,” katanya dalam temubual secara langsung di Facebook bersama sebuah portal berita tempatan malam Ahad.

Dalam pada itu katanya, parti itu mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRN, 20 November ini.

Katanya, beliau optimis keyakinan rakyat untuk kembali memberi sokongan kepada BN adalah tinggi selepas mengambil kira kegagalan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). 



PRN Melaka | Jentera BN 'tumpul' kerana kekangan SOP - Najib


“Saya harap semua pihak dapat tunjukkan kematangan dalam politik kerana kalau kita pilih parti yang sarat dengan dendam kesumat, bila ada kuasa mereka hendak balas dendam dan bukan mahu membela nasib rakyat.

“Itu yang berlaku sebelum ini dan pentadbiran sesebuah negeri perlukan sebuah parti yang tidak menekan, balas dendam dan hanya memimpin dengan adil sekiranya diberi kuasa,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, apabila berlaku sesebuah pilihan raya, pengundi tentunya mahu tahu siapakah bakal Ketua Menteri yang akan diangkat oleh setiap parti politik dan BN kekal dengan pendirian mengekalkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jelasnya, perkara itu tidak perlu dipertikaikan lagi dan kecelaruan yang berlaku pada parti lawan tentang siapakah Ketua Menteri yang bakal dilantik tentunya tidak disenangi pengundi.