KUALA LUMPUR: Kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka harus dilaksanakan secara matang tanpa perlu memburukkan pihak lain, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata semasa berkempen, calon BN perlu memberikan penekanan dan memaklumkan pengundi, tentang usaha-usaha yang akan dilakukan untuk kesejahteraan rakyat.

"Kempen mesti terarah kepada memberitahu apa yang kita hendak lakukan, daripada memburukkan mana-mana pihak sebab akhirnya bila kita menang, kita kena kerja untuk rakyat," katanya ketika ditanya mengenai kempen PRN Melaka itu.

Annuar yang ditemui selepas majlis penyampaian bantuan Deepavali Rumah Prihatin di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini berkata soal peluang UMNO untuk memenangi PRN Melaka itu adalah terpulang kepada rakyat Melaka untuk menentukannya.

"Jadi UMNO atau parti-parti lain hendaklah bertawakal kepada Allah dan menyerahkan mandat kepada rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan.

"Sebagai ahli UMNO, saya doakan agar UMNO menang di tempat-tempat yang UMNO tawarkan diri untuk bertanding," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat ruang untuk UMNO dan PAS 'menyelamatkan' kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN), Annuar berkata apa yang telah diputuskan kedua-dua parti itu ketika ini tidak akan kekal selama-lamanya.

"Pada saya ia (keputusan parti menghadapi PRN Melaka secara berasingan) adalah satu perlawanan pramusim dan tidak bermakna kekal seperti itu.

"Memang parti telah membuat pendirian dan kita ikut apa yang diputuskan, namun asasnya (perjuangan) tidak berubah iaitu kita harus berusaha mewujudkan solidariti nasional dan kurangkan konflik dan pertelingkahan," katanya.

PRN Melaka yang ditetapkan pada 20 Nov ini adalah susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam pilihan raya ini, BN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan UMNO 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).

-- BERNAMA