AYER KEROH: Pas memainkan peranan penting dalam memperkukuh Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) meskipun kerjasama politik antara gabungan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) belum diputuskan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu juga optimis untuk memastikan kata putus kerjasama itu dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kedua-dua PN dan MN merupakan entiti yang penting dalam negara kerana masing-masing ada peranan yang perlu kita pertahan dan perkukuhkan.

“Memang sejak dulu lagi Pas sentiasa menekankan untuk memperkasa kedua-dua gabungan parti ini. Jadi tidak timbul soal kita meminggirkan mana-mana parti komponen dalam PN atau MN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka di Hotel MiTC di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tiga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Rafiq Naizamohideen serta Datuk Radzi Md Jidin.

Dalam pada itu ujarnya, Pas yakin kerjasama rakan politik pada PRN Melaka November depan akan dapat dicapai tanpa sebarang pergeseran.

“Pas ada berbincang dan membuat penilaian untuk mencari titik persamaan kerana kalau matlamat itu kita tidak jumpa, sampai bila-bila (kerjasama) tidak boleh dicapai, tambahnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.

Ia selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Adly sebelum ini memaklumkan pihaknya kini mengumpul maklumat dan menyiapkan proses dokumentasi berhubung keabsahan pembubaran yang dipersetujui Tun Mohd Ali itu.