MELAKA: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bermula pagi ini.

Dua saluran mengundi tersebut dibuka pada jam 8 pagi ini untuk proses pengundian.

Seawal jam 7.45 pagi tadi pengundi telah mula mendaftarkan diri bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Difahamkan seramai 739 pengundi yang akan mengundi di IPK Melaka sehingga jam 5 petang ini.

Proses pengundian disaksikan ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR).

Pengundi mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 iaitu memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan dan menjalani saringan suhu badan.

Pada Isnin, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 11,557 orang pemilih akan mengundi awal dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Ikmalrudin, ia melibatkan sebanyak 31 pusat pengundian yang akan dibuka seawal jam 8 pagi.

Tambah Ikmalrudin, jumlah tersebut terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 polis.


*Berita asal di Sinar Harian