MELAKA TENGAH: Pakatan Harapan (PH) hari ini sah mencalonkan calon DUN Bukit Katil Adly Zahari untuk sekali lagi memegang jawatan Ketua Menteri Melaka, sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka mahu menonjolkan satu tokoh untuk memimpin Kerajaan Negeri, dan prestasi Adly selama 22 bulan nyata memenuhi kriteria tersebut.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, naratif dan pilihan PH tentang calon tunggal KM adalah konsisten, demi mengembalikan mandat yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Kita telah menonjolkan satu tokoh yang telah mempimpin kerajaan PH, dan naratif kita itu konsisten, apa saja langkah untuk mengembalikan mandat Pakatan Harapan, harus kita dukung.

“Setelah dipersetujui PH Melaka, dan sesuai dengan amalan tradisi kita, mereka melakar pelan mereka yang mengusulkan beberapa program dan langkah khusus. Dan antara mereka cukup pengalaman di negeri ini untuk mentadbir, kita beri penghormatan kepada Adly untuk bentangkan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan,” katanya lagi.

Anwar berkata, penetapan calon KM adalah perlu, dan beliau menjangkakan sekiranya kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), maka akan terjadi kekecohan besar, dan akhirnya mengakibatkan ketidakstabilan pada Melaka.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama Pakatan Harapan, di sini hari ini.

Adly, yang juga Pengerusi PH Melaka dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) telah memenangi kerusi DUN Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum 2018, dan mentadbir Melaka selama 22 bulan, sebelum Kerajaan Negeri bertukar pada Mac 2020.

Awal hari ini, BN turut mengumumkan pilihan calon Ketua Menteri mereka, iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang akan mempertahankan kerusi DUN Lendu.

Untuk PRN Melaka, Adly bakal menghadapi bakal dicabar Datuk Hasnoor Husin (BN), Adly Zahari (PH), Muhammad Al Afiz Yahya (Pas), dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas) dalam persaingan empat penjuru.

Sulaiman pula, akan dicabar Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN), dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).