Ringkasan AI
- Proses pengundian awal PRN Melaka ke-16 melibatkan 12,531 pengundi awal berakhir selepas 31 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 5 petang.
- Seramai 9,917 pengundi awal mengundi secara fizikal, manakala 2,614 lagi mengundi secara pos, dengan peratusan keluar mengundi fizikal 94.96 peratus.
- Hari pengundian ditetapkan pada 14 November, melibatkan 687,697 pengundi layak memilih wakil rakyat bagi PRN Melaka ke-16.
MELAKA: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing berakhir hari ini, selepas kesemua 31 pusat mengundi awal ditutup sepenuhnya pada 5 petang.
Pusat mengundi yang mula dibuka seawal 8 pagi tadi ditutup secara berperingkat mengikut kawasan serta jumlah pemilih berdaftar yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula dari 12 tengah hari, 2 petang hingga 5 petang.
Mengikut statistik SPR bagi PRN Melaka ke-16, terdapat sebanyak 12,531 pengundi awal, terdiri daripada 9,769 anggota tentera bersama-sama pasangan dan 2,762 anggota polis.
Daripada jumlah itu, 9,917 orang mengundi awal secara fizikal, manakala 2,614 lagi mengundi secara pos.
Berdasarkan peratusan keluar mengundi terkini yang dipaparkan di papan pemuka SPR, sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 pemilih yang mengundi awal secara fizikal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat masing-masing pada pilihan raya kali ini.
SPR menetapkan 14 Nov ini sebagai hari pengundian.
Pilihan raya ini menyaksikan Pakatan Harapan mempertaruhkan calon di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Barisan Nasional (23), Parti Bersama Malaysia (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (tujuh), Perikatan Nasional (lima), parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan Bebas (tiga).
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional menang 21 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan menang lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/pm/melaka/2026/.
-- BERNAMA