Seramai 16,877 pengundi akan mengundi awal esok bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 di 55 pusat mengundi mulai jam 8 pagi.

Daripada jumlah itu, 7,487 merupakan anggota tentera bersama pasangan serta 9,390 anggota polis.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 akan dikuatkuasakan sepanjang proses pengundian awal.

Ini termasuk norma baharu seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan pendaftaran kehadiran di pusat mengundi.

SPR turut akan menyiarkan proses pengundian ini secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal esok akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas undi hanya akan dikira pada hari pengundian, 26 September bermula jam 4 petang.

Secara keseluruhan, sejumlah 1.12 juta pengundi layak membuang undi dalam PRN Sabah kali ini.

Manakala sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan pertambahan 13 kerusi baharu akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya.