Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang keluar mengundi pada Sabtu.

Mohd Shafie turut berkata, keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 telah memperlihatkan bahawa parti tersebut sebagai parti yang paling banyak memenangi kerusi.

"Pertama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi negeri Sabah yang telah memberi sokongan yg begitu kuat kepada parti Warisan Plus.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] GRS menang 38 kerusi

"Kita dapat melihat bahawa dalam keputusan ini bahawa satu-satunya parti yang mendapat kemenangan begitu besar memperoleh kerusi ialah Parti Warisan iaitu dalam jumlah 29 kerusi yang telah kita menangi," katanya selepas pengumuman keputusan PRN Sabah ke-16 oleh Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu.

Tambah Mohd Shafie, segala aspirasi pengundi akan cuba direalisasikan kerana telah diberi kepercayaan oleh pengundi.

"Saya berharap ini merupakan satu penghargaan kepada semua rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk mereka dapat merealisasikan satu kumpulan ahli-ahli yang berhormat untuk membolehkan kita mewakili rakyat di peringkat negeri Sabah," katanya lagi.

Keputusan rasmi PRN Sabah pada Sabtu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah dengan menang 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

GRS dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).