Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah dengan menang 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada Sabtu.

Dengan bilangan itu, GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mempunyai kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi DUN.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, ketika mengumumkan kedudukan kerusi berdasarkan keputusan pilihan raya itu berkata, PN memperoleh 17 kerusi, BN (14 kerusi) dan PBS (tujuh kerusi).

“Warisan pula memperoleh 29 kerusi, PKR (dua kerusi) dan UPKO (satu kerusi) serta Bebas (tiga kerusi).

"Ini menjadikan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan UPKO mendapat 32 kerusi,” katanya.


Abdul Ghani menambah, seramai 749,083 atau 66.61 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Sabah kali ini.

Ditanya mengenai kelewatan pengumuman keputusan, beliau berkata, terdapat masalah teknikal berlaku di pusat gerakan SPR Pusat.

“Berlaku masalah teknikal iaitu server down dalam lingkungan 25 minit. Itu yang menyebabkan kita lambat menerima keputusan daripada pegawai pengurus pilihan raya,” katanya.