GEORGE TOWN: Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Azlan Amran, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat universiti itu, selama tiga tahun bermula 1 Feb.

USM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu, dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagi menggantikan Prof Md Roslan Hashim yang tamat tempoh pelantikannya pada 30 Nov lepas.

"Azlan, 51, yang berasal dari Ulu Langat, Selangor yang merupakan seorang siswazah Kedoktoran Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Perakaunan dari Universiti Malaya, memulakan kerjaya sebagai pensyarah USM pada tahun 2006.

"Azlan mempunyai kepakaran luas dalam bidang Tanggungjawab Sosial Korporat (Amalan dan Pelaporan) dan juga Laporan Bersepadu dan Tadbir Urus," menurut kenyataan itu semalam.

Beliau terlibat aktif dalam pelbagai jawatankuasa peringkat antarabangsa dan kebangsaan seperti Institut Integriti Malaysia, SIRIM, Asian Academy of Management (AAM) dan The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st century organization (ABEST21).

Kenyataan itu turut memaklumkan kepakaran yang ada pada Azlan turut membuatkan beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) International, sebuah badan akreditasi elit antarabangsa yang berpangkalan di Tampa, Florida, Amerika Syarikat.

-- BERNAMA