Program MyLesen bertujuan membantu remaja berumur 16 tahun ke atas khususnya pelajar sekolah mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada kos lebih rendah, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Beliau berkata dakwaan bahawa tempoh bagi program anjuran JPJ itu adalah lebih panjang berbanding tempoh mendapatkan lesen di institut atau sekolah memandu adalah tidak benar.

Bagi memastikan remaja sekolah memiliki lesen motosikal, JPJ telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melancarkan Program Kadet JPJ di sekolah mulai Ogos lalu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan 'Satu Komuniti Satu JPJ' peringkat daerah Besut di Pasir Akar, di sini pada Sabtu.

"Usaha itu bagi memastikan setiap ahli Kadet JPJ memiliki lesen motosikal," katanya.

Mengenai Satu Komuniti Satu JPJ, beliau berkata sebanyak 97,232 calon telah mengikutinya dalam 246 program dianjurkan di seluruh negara. -- BERNAMA