GEORGE TOWN: Pengunjung yang ingin menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam yang disediakan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Setiausaha Bahagian Pentadbiran Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara Stien Van Lutam berkata ia bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke program berkenaan sekali gus mengurangkan kesesakan trafik.

"Kita sarankan dan amat menggalakkan supaya menggunakan perkhidmatan bas yang telah kita sediakan. MOT dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad, kita sediakan bas perantara (shuttle bus) iaitu empat bas akan beroperasi sepanjang tiga hari ini," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata terdapat dua laluan disediakan bagi perkhidmatan bas perantara itu iaitu laluan 1 dari Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) ke Tapak Pesta Sungai Nibong (setiap 30 minit) dan laluan 2 dari jeti ke Queensbay ke Tapak Pesta Sungai Nibong (setiap 45 minit).

"Kesemua perkhidmatan ini akan beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam mulai hari ini hingga Ahad," katanya yang turut menjemput orang ramai untuk hadir bagi memeriahkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara.

Selain bas perantara, perkhidmatan feri percuma turut disediakan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda sepanjang tiga hari program berlangsung serta perkhidmatan KTM Komuter (Utara) secara percuma selama dua hari pada 4 dan 5 Mei iaitu hari kedua dan terakhir program, melibatkan perjalanan dari Padang Besar dan Ipoh ke Butterworth.

-- BERNAMA