Kerajaan akan melanjutkan program subsidi upah bagi tempoh tiga bulan lagi untuk menangani isu kadar pengangguran yang meningkat akibat COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RM9 bilion diperuntukkan oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada tiga juta tenaga kerja melalui beberapa inisiatif.

"Pertama, Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Sejak diperkenalkan dalam Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan, program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan.

"Program selama tiga bulan ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

"Bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi, kerajaan akan melanjutkan program subsidi upah ini selama tiga bulan lagi," katanya sempena Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek di sini pada Jumaat.

Tambahnya, berikutan ekonomi telah dibuka secara berperingkat, subsidi upah itu ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja dengan setiap syarikat ditetapkan had maksimum 200 orang pekerja.

"Bagi pekerja sektor pelancongan dan sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB, serta telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung,' kata beliau lagi.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja yang memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja melalui dua insentif.

"Bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan, kerajaan akan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja di mana syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

"Pertama, insentif bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja.

"Kedua: Insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan," tambahnya.

Insentif-insentif berkenaan akan diberikan selama enam bulan, kata beliau.