Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan tidak akan berlaku kebanjiran pekerja warga asing terutamanya dari China dalam pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau sedia maklum bahawa perkara berkenaan menjadi antara kebimbangan menerusi projek itu yang meliputi perjalanan dari Kuala Lumpur hingga Kelantan.

“Apa yang kita bimbangkan adalah sama ada China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) itu akan membawa pekerja-pekerja dari China. Jadi saya mendapatkan kepastian bahawa mereka akan membawa tenaga-tenaga pakar sahaja.

“Itu akan melegakan hati kita dan semua pekerja dari China akan ditempatkan di kuarters mereka dan tidak bersama masyarakat tempatan,” katanya.

Katanya, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) turut memberi keyakinan bahawa perkara itu tidak akan berlaku dan golongan bumiputera tidak akan dipinggirkan sama sekali.

Ahmad Samsuri turut menyarankan pada kontraktor dan penduduk tempatan untuk merebut peluang dan mengambil tempat dalam pembinaan projek kereta api laju itu.

“Kewujudan ECRL bukan sahaja memberi peluang pekerjaan, malahan mampu memberi wajah baharu kepada Terengganu,” jelasnya.

Untuk rekod, projek ECRL disambung semula susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan CCCC.

Selain pengurangan kos, jajaran baharu ECRL meliputi perjalanan dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

Ukuran landasan turut berjaya dikecilkan kepada 648 kilometer (km) berbanding rancangan awal iaitu 688 km.