KUALA LUMPUR: Projek Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) masih di peringkat perancangan awal dan fokus akan diberikan kepada proses pengambilalihan tanah daripada Sime Darby Plantation Bhd, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa bagi projek tersebut telah ditubuhkan melibatkan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan negeri Perak.

"Diharapkan pada tahun ini, kita akan mendapat persetujuan di antara semua pihak dan projek ini dapat dilancarkan pada tahun ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin tahu mengenai hala tuju, garis masa pencapaian dan kemajuan projek KIGIP setakat ini.

"Kita perlu mencipta suasana di mana gaji lebih tinggi, terutamanya dalam industri semikonduktor, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 (NIMP 2030), apabila gaji sederhana boleh mencapai RM4,510," katanya.

-- BERNAMA