Projek super magnet di Pahang mampu wujud banyak peluang pekerjaan - Wan Rosdy

Wan Rosdy ditemui media pada Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di ILP Kuantan, hari ini. - Gambar Bernama
KUANTAN: Projek pembangunan fasiliti pembuatan "super magnet" bernilai RM600 juta yang bakal dibangunkan di Pahang, dijangka mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negeri.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berimpak tinggi itu juga berpotensi menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada limpahan ekonomi kepada rakyat setempat.
"Saya mengalu-alukan (pembangunan fasiliti super magnet) kerana apabila ada pelaburan (baharu), kita dapat wujudkan peluang pekerjaan. Ramai orang boleh bekerja dan datang ke Pahang," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Industri Kuantan di di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata perkembangan mengenai projek berkenaan akan dibincangkan bersama kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan negeri juga akan memberikan pandangan yang berkaitan dengan industri ini," katanya.
Semalam, media melaporkan projek fasiliti super magnet yang bakal dibangunkan JS Link dan Lynas Malaysia di Pahang, dilihat berpotensi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia, sekali gus mewujudkan potensi baru dalam industri hiliran bagi nadir bumi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


