KUALA LUMPUR:UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan pengisytiharan Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, bagaimanapun UMNO menegaskan segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.

Jelasnya lagi, penegasan itu berdasarkan rasional yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa permohonan pengisytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik COVID-19.

“Sepanjang Darurat berlangsung, UMNO berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara.

“Kerajaan juga harus memberi jaminan untuk mengambil berat isu kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan kelangsungan hidup rakyat,” katanya lagi.

Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, isu kesejahteraan rakyat termasuk tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat, lanjutan moratorium, dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, UMNO bertegas bahawa usaha harus dilakukan untuk mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan Demokrasi Berparlimen sejurus Darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas selesai Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, petang ini.