MALAYSIA
Proses pengambilan ekspatriat dipendek kepada 10 hari melalui Xpats Gateway

Steven berkata pelaksanaan integrasi sistem Xpats Gateway juga dijangka memberikan penjimatan hampir RM500 juta kepada pemegang taruh, khususnya majikan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tempoh pemprosesan bagi pengambilan pekerja ekspatriat profesional di Malaysia kini dipendekkan kepada 10 hari berbanding 40 hari, sebelum ini.
Ringkasan AI
- Integrasi sistem ePPAx dan MYFutureJobs ke dalam Xpats Gateway bermula 1 Julai 2025 membolehkan permohonan ekspatriat profesional diselesaikan dalam 10 hari berbanding 40 hari sebelum ini.
- Proses serentak melalui satu platform menjimatkan kos sehingga 90% kepada majikan dan dijangka memberi penjimatan hampir RM500 juta kepada pemegang taruh.
- Xpats Gateway memproses sekitar 100,000 permohonan setahun dan menyumbang kepada peningkatan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Global 2025, melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dunia.
“Sekarang nak mohon hanya perlu satu platform iaitu Xpats Gateway.
“Ini sudah tentu akan meningkat kecekapan dari segi pengurangan masa yang diperlukan dan sekarang dari awal hingga hujung proses akan mengambil masa dalam tempoh masa 10 hari.
“Proses ini juga akan menjimatkan masa majikan dan mengikut pengiraan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini akan jimatkan kos sehingga 90 peratus kepada majikan,” katanya pada sesi taklimat media di ibu negara pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia(JIM), Datuk Zakaria Shaaban; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew; dan Timbalan Ketua Pengarah MPC, Mohamad Norjayadi Tamam.
Mengulas lanjut, Steven berkata pelaksanaan integrasi sistem Xpats Gateway juga dijangka memberikan penjimatan hampir RM500 juta kepada pemegang taruh, khususnya majikan.
Ia sekali gus mempertingkat kecekapan dan produktiviti sektor pekerjaan berkemahiran tinggi, ujar beliau.
Katanya lagi, dalam tempoh tujuh hari pertama pelaksanaan, lebih 100 syarikat telah mengemukakan permohonan melalui platform baharu itu.
“Sistem ini akan memproses sekitar 100,000 permohonan ekspatriat setahun, dan rekayasa sistem yang dilakukan dalam tempoh setahun kebelakangan ini turut menyumbang kepada penambahbaikan signifikan dalam prestasi negara.
“Xpats Gateway bukan sahaja memudahkan proses kepada majikan, pekerja dan pelabur, malah menyumbang kepada peningkatan dalam Indeks Daya Saing Global termasuk kenaikan 11 anak tangga,” tambah Steven.
Sementara itu, Zakaria memaklumkan integrasi tersebut akan mempercepatkan masa pemprosesan dokumentasi atau kelulusan dalam tempoh sekurang-kurangnya lima hari.
“Di peringkat TalentCorp akan proses selama tiga hari, dan satu hari saja di JIM untuk kita buat keputusan lulus atau tolak, manakala dua hari pemakluman kepada syarikat terlibat (pemohon),” ujar beliau.
Xpats Gateway dibangunkan oleh TalentCorp dan dilancarkan pada Jun 2023.
Ia merupakan platform sehenti yang memperkemas proses permohonan ekspatriat di Malaysia dan kini menghimpunkan 26 agensi pelulus dan kawalselia rentas kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami