Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti disifatkan sebagai pilihan raya yang benar-benar berpaksikan kepada rakyat, berbanding 12 proses demokrasi negara sebelum ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Mohamad Abu Bakar melihat ini kerana perubahan politik Malaysia yang dinamik telah mendewasakan rakyat untuk membuat pilihan.

"Rakyat merasakan mereka semakin bebas untuk menentukan corak politik Malaysia," katanya kepada Astro AWANI.

Jelas beliau, parti yang bertanding tidak boleh rasa selesa kerana tuntutan rakyat pada PRU-13 nanti tidak sama dengan pilihan raya lain sebelumnya.

Kesan Transformasi

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Datuk Dr. Mustafa Ishak pula melihat perubahan sikap rakyat itu kesan daripada agenda transformasi yang dilaksanakan sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kuasa pada 2009.

"PRU-13 akan jadi refleksi kematangan demokrasi di Malaysia dengan pelbagai penambahbaikan proses pilihan raya serta tahap celik politik rakyat yang semakin meningkat," jelasnya.

Bagi Penganalisis Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, Profesor Madya Dr. Fuad Mat Jali pula, kesan transformasi yang mengukuhkan pendemokrasian negara juga mendorong peningkatan kelompok pengundi atas pagar.

"Dulu pada 2008, mereka (pengundi atas pagar) inilah yang menentang kerajaan kerana rasa tidak dipedulikan," jelas Fuad merujuk kepada kajiannya di negeri Selangor.

Kebanyakan mereka yang berada di atas pagar ialah berumur antara 21 hingga 40 tahun.

"Apabila transformasi dibuat oleh kerajaan, golongan ini diberi perhatian dan secara perlahan-lahan mereka mula memberi perhatian kepada kerajaan", tambah Fuad.

Ujar Fuad, keadaan ini menjadi cabaran kepada parti-parti politik untuk mengetengahkan calon yang paling disukai masyarakat di kawasan masing-masing.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata, UMNO akan meletakkan calon pilihan rakyat dalam PRU-13.

Katanya, senarai calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional sudah melalui beberapa proses saringan dan masih lagi disaring.