AMPANG : "Selesai segera masalah bekalan air di Ampang"

Itu gesaan penduduk di Parlimen itu yang sudah tidak ada daya lagi untuk menyuarakan aduan kepada pihak berwajib.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, Taman Sri Raya adalah antara kawasan perumahan di Ampang yang paling teruk terjejas dengan masalah gangguan bekalan air.

Menurut penduduk, Md Banin Musirin, masuk bulan ini sahaja, sudah lapan kali bekalan air terputus atau kalau ada pun tekanan airnya didakwa sangat kecil.

"Sebagai antara penduduk orang lama di sini, saya sangat kecewa dengan tekanan air di sini, dengan tekanan rendahlah, air kecillah, pam rosaklah, jadi benda macam ini berulang-ulang berkali-kali.

"Tahun ini sahaja tujuh atau lapan kali berlaku gangguan air. Sedangkan pihak berwajib janji dulu apabila air sudah ambil, mereka nak kena buat sebaik mungkin. Kenapa kami ini seolah dianaktirikan?," katanya semasa ditemui di Astro AWANI di sini.

 Penduduk Taman Sri Raya, Ampang, Md Banin Musirin (kiri) dan Azizah Jantan (kanan)

Lebih memeritkan, jika ada bantuan lori air tangki sekalipun, ia turut menyukarkan warga emas untuk mengangkut air yang berat ke dalam rumah.

"Saya dan isteri ni warga emas. Sakit lutut nak berjalan nak angkut air sebaldi pun tak larat.

"Jadi setiap kali air tidak ada, kami ini susah nak pergi ambil air.

"Sampai bila? Baikilah pam yang rosak tu, atau ganti baharu sahajalah," katanya lagi.

Bagi seorang lagi penduduk, Azizah Jantan, dia terpaksa menutup kedai makan yang merupakan mata pencarian utamanya setiap kali berlaku gangguan bekalan air.

"Kalau orang meniaga perlukan air banyak. Nak basuh itu ini, kalau sebut Ampang mesti orang cakap tempat kamu selalu tiada air. Sana yang ada hal, kita ni hujung-hujung pula tidak ada air," katanya kesal.

Sudah banyak kali aduan dibuat kepada pihak bertanggungjawab, namun, alasan sama tetap diberikan, iaitu paip pecah, atau pam rosak, dakwanya.

Banyak aduan dibuat, tetapi gangguan bekalan air kerap juga berlaku

Lebih mengecewakan mereka adalah tindakan pihak berwajib yang didakwa menutup bekalan air tanpa memaklumkan penduduk lebih awal.

Penduduk juga mengambil inisiatif dengan mengisi air dalam tong-tong besar di rumah mereka susulan isu bekalan air yang kerap berlaku.

Namun, persoalan mereka, sampai bila?

Justeru, mereka juga mahu wakil rakyat mengambil tahu mengenai isu gangguan bekalan air di Ampang dan memberikan solusi berkesan terhadap masalah berkenaan.