Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PTPTN perkasa budaya menabung untuk pendidikan melalui BMS 2026

BMS 2026 TB
Norliza (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026. - Gambar PTPTN
Advertisement

SHAH ALAM: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkukuh usaha menggalakkan ibu bapa menyediakan tabung pendidikan anak-anak sejak awal usia menerusi pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 bersempena dengan sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Tahun ini, tema “Di bawah lautan” menggambarkan perjalanan membina tabiat menabung dan merancang kewangan bagi merealisasikan impian pendidikan anak-anak.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program itu menyasarkan terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM250 juta sepanjang penganjurannya dari 25 September hingga 1 November ini.

Menurutnya, perancangan kewangan lebih awal memberi keluarga ruang untuk membiayai pengajian anak-anak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

“Penabungan bukan sekadar menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan.

“Penabungan merupakan satu bentuk persediaan yang memberikan keluarga lebih banyak pilihan dan ruang untuk merancang perjalanan pendidikan anak-anak,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran BMS 2026 di Central i-City Mall, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, sehingga 31 Ogos 2026, Simpan SSPN merekodkan pembukaan 7.66 juta akaun dengan jumlah deposit diterima sebanyak RM25.86 bilion.

“Semoga BMS 2026 terus menjadi platform yang menyemarakkan budaya menabung serta melahirkan generasi MADANI yang bertanggungjawab dan celik kewangan,” ujarnya.

Bagi pemenang utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 2, Siti Aisyah Mohd Noh, simpanan pendidikan menjadi sebahagian daripada persediaan keluarganya menghadapi keperluan anak-anak untuk pendidikan tinggi pada masa depan.

Katanya, kos pendidikan yang tinggi menjadi pertimbangan penting untuk menyediakan tabungan Sim berkenaan.

“Memang kita buka akaun Simpan SSPN ini untuk masa depan pendidikan mereka. Sebab kos pendidikan sekarang semakin tinggi, jadi melalui Simpan SSPN ini saya mula menyimpan untuk pendidikan anak-anak,” jelasnya.

Image
BMS 2026 INSERT
Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (tengah) menyerahkan replika kad motosikal Yamaha NVX 155 kepada pemenang utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 2. - Gambar PTPTN

Sementara itu, pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2, Md Doli Mohd Nor, berkongsi usaha memupuk disiplin menabung dalam kalangan anak-anak meskipun kemampuan kewangan keluarganya terhad.

Baginya, amalan itu diterapkan melalui langkah kecil, termasuk menggalakkan anak-anak mengasingkan sebahagian wang belanja harian.

“Jadi macam mana pun saya galakkan anak saya kalau dapat belanja itu, asingkan RM1 sehari. Jadi Alhamdulillah, apabila dia menerima cadangan saya itu, inilah hasilnya,” katanya.

Pengalaman kedua-dua pendeposit itu memperlihatkan peranan ibu bapa dalam membina tabiat menabung, seiring slogan BMS 2026, “Jom Jadi Superhero Anak Anda”.

Image
BMS 2026 INSERT
Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (tengah) menyerahkan replika kad berjumlah RM20,000 kepada pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2. - Gambar PTPTN

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2026.

Bagi mendekatkan keluarga dengan budaya menabung, pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang BMS 2026, termasuk pertandingan mewarna, pakaian beragam, Simpan SSPN Got Talent dan Action Song Simpan SSPN.

Sambutan peringkat negeri pula dijadual berlangsung pada 3 Oktober di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang, serentak dengan lokasi terpilih di seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan lokasi penganjuran BMS 2026 boleh diperoleh menerusi www.ptptn.gov.my/BMS2026⁠.

Must Watch Video

Advertisement