Angkatan Muda Keadilan (AMK) merayu ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Jho Low pulang segera ke negara ini.

Rayuan itu dibuat ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam Kongres Nasional Tahunan AMK ke-13 yang berlangsung di sini, hari ini.

Menurut beliau, kepulangan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho membolehkan proses perbicaraannya dilakukan negara ini.

"Mereka yang bertanggungjawab terhadap penyalahgunaan kuasa pada masa lalu yang membawa Malaysia ke ambang kehancuran dan penderitaan pasti akan diheret ke muka pengadilan.

"Kita merayu kepada Jho Low sekiranya dia sedang menonton kongres ini secara langsung, pulanglah ke Malaysia serah diri. Dia boleh mempertahankan dirinya di negara ini," katanya.

Dalam ucapan sama, Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menggesa kerajaan agar tidak takut untuk membuat pembaharuan yang lebih mendalam.

"Kerajaan tidak seharusnya berpeluk tubuh atau terganggu. Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Sosma, Pota dan undang-undang menindas yang lain harus dihapuskan untuk diganti dengan undang-undang yang melindungi demokrasi dan keselamatan rakyat.

"Tidak perlu menjenamakan semula badan-badan propaganda politik kepartian dan perkauman seperti Biro Tatanegara (BTN). Ia hanya perlu wujud dalam buku sejarah," katanya.