NATIONAL
Pulau Pinang laksana 'Track and Trace' durian mulai 1 Jun, elak eksploitasi

Fahmi berkata pembangunan teknologi itu berikutan aduan yang diterima daripada pengusaha tempatan berkenaan penipuan dan eksploitasi durian tempatan. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri akan melaksanakan teknologi 'Track and Trace', platform pintar yang membolehkan pemantauan menyeluruh terhadap durian hasil keluaran Pulau Pinang mulai 1 Jun ini sempena musim 'raja buah' negeri itu.
Ringkasan AI
- Pulau Pinang akan melaksanakan teknologi 'Track and Trace' mulai 1 Jun untuk memantau keaslian dan pengeluaran durian tempatan, bagi mengatasi isu penipuan dan eksploitasi.
- Kerjasama dengan MIMOS Sdn Bhd dan agensi kerajaan seperti FAMA, MAQIS, KPDN, serta Pejabat Pelancongan dan Ekonomi Kreatif bertujuan memperkukuh industri durian.
- Durian Pulau Pinang mendapat permintaan tinggi, dengan eksport sebanyak 67,203 kilogram tahun lepas, termasuk jenis popular seperti Musang King (D197) dan Black Thorn (D200).
"Sehubungan dengan itu, penggunaan teknologi 'Track and Trace' diharapkan dapat memberikan solusi kepada permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha durian tempatan, khususnya di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Melalui pelaksanaan teknologi itu, beliau yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, memastikan pematuhan terhadap peraturan dan membina kepercayaan terhadap produk durian tempatan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh industri durian dan melindungi kepentingan pengusaha tempatan.
Beliau berkata teknologi 'Track and Trace' itu juga hasil kerjasaman Pejabat Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.
Beliau berkata durian dari Malaysia, termasuk Pulau Pinang terus mendapat permintaan yang tinggi kerana jaminan kualiti berdasarkan standard pensijilan myGAP yang diiktiraf negara pengimport seperti China, dengan jumlah export durian Pulau Pinang sebanyak 67,203 kilogram (kg) pada tahun lepas.
Durian jenis Musang King D197 dan Ochee atau Black Thorn D200 dari Pulau Pinang, antara durian yang paling popular diexport, manakala Kim Long D230 dan Cenderawasih D229 klon terbaharu yang dikeluarkan dan didaftarkan di negeri ini pada 2023.
Pulau Pinang mempunyai lebih 30 variasi durian, antaranya Dato Nina (D2), Lipan Bara, Ikan Emas, Kulit Hijau (D165), Tekka (D160), Labu (D163), Lipan, Kunyit, Ang Bak Kia, Khoon Poh (D164), Ais Krim, Lin Feng Jiao, Muntri (D14), dan Yi Dian Hong.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami