KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan perlu mengutamakan usaha melahirkan generasi pemimpin industri masa depan, selain mengguna pakai teknologi mampan dan memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memastikan daya tahan sektor ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Berucap pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026 dan BuildXpo Malaysia 2026 hari ini, beliau berkata penglibatan golongan belia serta kecekapan teknikal amat penting bagi memastikan pertumbuhan industri itu pada masa depan.
“Melahirkan generasi pemimpin baharu dalam sektor pembinaan merupakan aspek penting bagi masa depan industri ini. Kita perlu menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia menceburi kerjaya dalam bidang pembinaan dan memperkukuh kemahiran teknikal mereka,” katanya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Edisi ke-28 dan tahun keempat berturut-turut kerjasama antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube) itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Azman Ibrahim, Pengerusi CIDB Datuk Yusuf Abd Wahab dan Pengerusi Qube Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali.
Nanta berkata ICW menyokong matlamat itu menerusi beberapa inisiatif seperti CIDB-Chartered Institute of Building Malaysia (CIOB) Youth Arena, CIDB-Malaysian Structural Steel Association (MSSA) Open Ideas Competition serta pertandingan Crane Lifting Planning, yang menyediakan platform kepada golongan profesional baharu untuk mengetengahkan pengetahuan dan idea mereka.
Mengenai kerjasama serantau, beliau berkata acara seperti persidangan Impact Change Through Construction (ICTC) dan persidangan Asia Construct berperanan sebagai wadah strategik untuk pemain industri serantau bertukar-tukar amalan terbaik, menggalakkan inovasi serta bersama-sama menangani cabaran industri.
Nanta turut memuji Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana menerajui program BAMBuild yang bertemakan “The Future of Sustainable Bamboo Construction”, yang meneroka potensi penyelidikan dan teknologi buluh sebagai bahan binaan alternatif.
“Perbincangan itu mengingatkan kita tentang kepentingan bahan mampan, inovasi praktikal dan kerjasama antarabangsa dalam membentuk masa depan industri pembinaan,” katanya.
Acara berkenaan disertai oleh delegasi dari Singapura, Indonesia, Myanmar, Jepun, Comoros, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Hong Kong, selain pembeli sektor komersial dari Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Beliau berkata penyertaan mereka mewujudkan rangkaian komersial kepada syarikat Malaysia yang ingin meluaskan pasaran eksport masing-masing.
Lawatan teknikal ke Bangunan Sultan Abdul Samad, Carcosa Seri Negara dan Pejabat Pos Malaysia bersempena dengan ICW, misalnya memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepakaran yang diperlukan untuk memulihara bangunan warisan.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Ahmad Tajuddin berkata bertemakan “Beyond Limits”, ICW dan BuildXpo Malaysia 2026 menyediakan platform kerjasama serta inovasi industri untuk menggalakkan pemain industri memanfaatkan teknologi moden bagi memajukan sektor pembinaan negara.
“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan platform yang menghubungkan masyarakat, idea, teknologi dan peluang perniagaan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada industri dan negara,” katanya.
Ahmad Tajuddin berkata ICW dan BuildXpo Malaysia bukan sekadar pameran, sebaliknya berperanan sebagai hab serantau bagi pertukaran pengetahuan, mengikuti perkembangan trend baharu serta menjalin kerjasama yang dapat mempertingkat kaedah kerja.
Menyentuh pencapaian korporat Qube, beliau berkata syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 2005 itu kini meraikan 21 tahun pengalaman dalam industri acara perniagaan dan pameran, selepas berkembang daripada syarikat berteraskan pasaran tempatan kepada bertaraf global.
Ahmad Tajuddin, yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi CIDB dari Februari 2014 hingga Februari 2020, turut berbangga menyaksikan perkembangan acara itu sejak pengenalan pelan induk strategik seperti Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).
-- BERNAMA