KUALA LUMPUR: Ikon bersejarah ibu kota, Dataran Merdeka, bertukar menjadi stadium terbuka apabila dibanjiri lebih 25,000 peminat bola sepak yang berhimpun bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, awal pagi ini.
Pertembungan final Argentina dan Sepanyol ditayangkan menerusi skrin gergasi oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersempena dengan program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026.
Bermula tengah malam, orang ramai daripada pelbagai kaum dan lapisan usia, termasuk pelancong asing, mula membanjiri Dataran Merdeka meskipun aksi kemuncak hanya bermula 3 pagi.
Sorakan bergema sebaik wisel permulaan apabila penyokong kedua-dua pasukan yang hadir memakai jersi pasukan masing-masing yang menyemarakkan lagi suasana.
Kemeriahan acara turut disertai Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yang hadir mengenakan jersi Argentina bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu bersama-sama ribuan pengunjung.
Bercakap kepada pemberita, Fahmi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, selain mengucapkan tahniah kepada RTM dan rakan strategik atas penyediaan siaran percuma sepanjang kejohanan berlangsung.
“Terima kasih kepada RTM, Telekom Malaysia, CelcomDigi, U Mobile dan semua rakan strategik yang telah menjayakan siaran percuma untuk Piala Dunia 2026 ini.
“Di Dataran Merdeka sahaja sekarang ini, ada lebih 25,000 orang yang datang untuk menonton. Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah,” katanya.
Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus, Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, Ashwad meluahkan rasa bangga melihat orang ramai berkumpul tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama untuk memeriahkan suasana dalam semangat kesukanan serta kebersamaan.
“Saya juga sempat bertemu beberapa pelancong dari Argentina yang meluahkan rasa puas hati terhadap sambutan yang diberikan rakyat Malaysia,” katanya.
Penyokong Argentina Faisal Kamaruzaman, 33, berkata penganjuran program itu memberikan pengalaman menonton yang berbeza berbanding kebiasaannya.
“Selalunya saya dan kawan-kawan menonton di rumah atau di kedai makan, tetapi apabila diadakan secara besar-besaran di lokasi seperti Dataran Merdeka, auranya rasa luar biasa dan memberikan kepuasan berbeza,” katanya yang merupakan penyokong setia skuad Albiceleste.
Seorang lagi pengunjung yang dikenali sebagai Syikin, 29, berkata tayangan skrin gergasi itu membuktikan bola sepak mampu menyatukan masyarakat dalam suasana yang selamat, harmoni dan santai.
Program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026 merupakan anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RTM menerusi inisiatif Yayasan Prihatin dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
-- BERNAMA