KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd meningkatkan aspek keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Latihan TFC di Kompleks Sukan Gong Badak dekat Kuala Nerus.

Ia susulan insiden samun dan serangan ke atas pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid pada 2 Mei lalu yang menyebabkan beliau terpaksa menerima empat jahitan di kepala dan kaki.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata langkah itu diambil selepas perbincangan lanjut dengan pihak polis yang masih giat memburu suspek samun berkenaan.

"Susulan kes Akhyar diserang di Icon Residence itu kita dapati pergerakan Akhyar telah diikuti oleh pelaku (suspek samun). Jadi kita perlu hentikan pandangan mana-mana pihak terhadap pemain kita atas nasihat polis.

"Malah pihak polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain TFC dan minta kita lapor pergerakan mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Penaja TFC Sdn Bhd bersama Menteri Besar Terengganu sempena Pelancaran Kit Rasmi Musim 2024/2025 di Marina Duyong, semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT Datuk Marzuki Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd Mohd Sabri Abas.

Mengulas lanjut Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri berkata selain pemasangan CCTV, penutupan Pusat Latihan TFC mulai minggu lalu kepada penyokong setia yang mahu menyaksikan sesi latihan adalah bersifat sementara.

Bagaimanapun katanya langkah keselamatan itu hanya bersifat sementara sehingga keadaan kembali reda dan keselamatan semua pemain dan barisan kejurulatihan terjamin.

Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata pihaknya menyasarkan kutipan tiket perlawanan sebanyak RM3.8 juta pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berbanding RM3.5 juta tahun lalu.

Selain itu TFC Sdn Bhd juga telah berjaya menarik lebih 3,000 keahlian Kelab TFC yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan kelebihan untuk penyokong skuad Penyu itu.

-- BERNAMA