Pusat penamaan calon PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag dibuka

Proses penamaan calon berlangsung selama satu jam sehingga 10 pagi, sebelum calon yang layak bertanding diumumkan. - Foto BERNAMA
KINABATANGAN: Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Dewan Sri Lamag dibuka pada 9 pagi ini.
Proses penamaan calon berlangsung selama satu jam sehingga 10 pagi, sebelum calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Eddy Syaizul Rizam Abdullah.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan.
Sementara itu, pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 Nov tahun lepas, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada 20 Jan.
Seramai 48,722 pengundi layak mengundi, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa serta 196 anggota polis dan pasangan mereka. Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran serta satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


