KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan World Economic Forum (WEF) menubuhkan sebuah Pusat Revolusi Industri 4.0 (C4IR) pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara, dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perasmian C4IR itu turut dihadiri Presiden WEF, Børge Brende, dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di ibu negara, hari ini.

Pusat ini akan memberi tumpuan kepada ekonomi digital, peralihan tenaga dan transformasi digital.

Perdana Menteri menyifatkan penubuhan C4IR ini sebagai bukti usaha Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, dipacu digitalisasi dan peneraju ekonomi digital dirantau yang memupuk inovasi, keusahawanan dan kolaborasi pelbagai pemegang taruh.

"C4IR di Malaysia akan terus memperkukuh dasar berteraskan insan ke arah Revolusi Industri 4.0 dan menyumbang ke arah sasaran menjadi negara 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global.

"Kita juga yakin dengan pendekatan yang anjal ini akan menambahbaik skor Indeks Kesejahteraan Rakyat dan meningkatkan produktiviti untuk menghasilkan pembangunan ekonomi yang inklusif, seimbang, bertanggungjawab dan mampan," katanya dalam ucapannya melalui sidang video semasa pelancaran hari ini.

[TERKINI] Pelancaran Malaysia sebagai pusat revolusi industry keempat

Presiden WEF memuji kepimpinan Malaysia di rantau Asia Tenggara dan komitmen negara untuk memacu Revolusi Industri 4.0 ini.

"Melalui C4IR di Malaysia, kami teruja untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan, perniagaan dan pertubuhan sivil untuk membawa limpahan manfaat teknologi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kerjasama ini bukan semata-mata untuk mencetuskan transformasi, malahan juga membina masa depan Malaysia dan ASEAN yang lebih mampan, inklusif, dan berdaya tahan," kata Brende.

Inisiatif ini melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam inovasi dan urus tadbir teknologi di peringkat global.

Dengan penubuhan C4IR ini, Malaysia kini menjadi satu daripada 18 negara lain yang turut mengoperasikan pusat ini.

C4IR memainkan peranan penting untuk memajukan ekonomi digital Malaysia dengan memberi penekanan kepada peralihan tenaga dan transformasi digital.

Pusat ini dijangka akan memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial Malaysia untuk tahun-tahun akan datang.

MyDIGITAL Corporation, sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, menerajui C4IR di Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabian Bigar, berkata pihaknya berharap dapat memenuhi aspirasi penubuhan pusat ini untuk meningkatkan peluang kolaborasi antara semua pihak berkepentingan.

Rangkaian C4IR yang dimulakan oleh WEF ini merupakan platform untuk memudah cara kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memaksimumkan manfaat teknologi kepada masyarakat dengan meminimumkan risiko yang dikaitkan dengan teknologi Revolusi Industri 4.0.