Pasukan Unit Bencana dan Pengecaman Mangsa (DVI) telah melengkapkan data antemortem atau data sebelum meninggal dunia daripada 162 mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Ketua Polis Bahagian Hubungan Masyarakat Jawa Timur, Awi Setiyono berkata laporan sebelum ini tertangguh kerana menunggu data penolong juruterbang, Remi Emanuel Plesel, seorang warganegara Perancis.

“Keluarga Remi diketahui menetap di Kepulauan Caribbean dan sukar untuk dihubungi, kemudian ia sudah lengkap atas bantuan Interpol,” jelas Awi yang dihubungi CNN Indonesia.

Sementara itu, pihak DVI masih berusaha mengumpul sampel DNA keluarga mangsa nahas dan setakat ini baru 146 sampel berjaya dikumpul.

Untuk rekod, Hospital Bhayangkara, Surabaya sudah menerima 34 jasad mangsa manakala sembilan jenazah sudah diserahkan kepada keluarga.

“Sebanyak 12 mayat mangsa nahas sedang dikenal pasti di Hospital Surabaya dan empat lagi baru sampai dari Pangkalan Bun,” kata Awi.

Proses pengumpulan data antemortem ialah prosedur pertama dalam senarai SOP yang perlu dilakukan pihak DVI apabila berlaku insiden nahas.

Prosedur berikutnya, mengikut turutan, ialah penyimpanan jenazah, pelabelan semula, proses mengenal pasti, rekonsiliasi, dan akhir sekali pengembalian jenazah.

Pesawat QZ8501 jenis Airbus A320-200 yang membawa162 penumpang dan anak kapal itu telah berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi, 28 Dis 2014 dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (3), dan masing-masing seorang dari Singapura, Malaysia dan United Kingdom.

Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin.