SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar disifatkan sebagai seorang raja yang senantiasa mempunyai pandangan jauh dan sering memberi nasihat untuk kemajuan negeri serta Malaysia.

Mengimbau kembali tatkala menjawat jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika beliau menerajui negeri itu, Sultan Ibrahim sering turun padang dan memberikan panduan dalam memacu agenda pembangunan Johor.

Menurutnya yang kini merupakan Menteri Pertahanan, Tuanku berperanan penting dalam menerajui pelbagai inisiatif di negeri berkenaan termasuk menaungi penubuhan beberapa yayasan yang telah memberi manfaat kepada rakyat Johor seperti Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

“Tuanku juga telah memperkenalkan skim Rumah Impian Bangsa Johor yang membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Johor untuk memiliki rumah, di samping mem-bangunkan Ibrahim International Business District yang telah memberikan kesan positif terhadap ekonomi dan infrastruktur negeri.

“Harapan saya agar Tuanku dapat terus memimpin dengan kebijaksanaan dan membawa kemajuan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah buat Sultan Ibrahim yang akan diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari ini.

“Merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Saya secara peribadinya berasa sangat bertuah kerana berkesempatan mengenali Tuanku sejak kami sama-sama bersekolah di English College, Johor Bahru (kini Maktab Sultan Abu Bakar).

“Pengalaman itu diteruskan lagi selepas saya dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 2013 hingga 2018. Selama lima tahun tersebut, kami kerap bertemu dan Tuanku sentiasa memberikan pandangan serta nasihat berharga bagi kemajuan negeri,” katanya.

Mohamed Khaled, 66, merupakan Menteri Besar Johor yang ke-15, memimpin kerajaan negeri dari Mei 2013 sehingga Mei 2018.

Semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor, beliau telah memperkenalkan gagasan Johor Berkemajuan yang mahu menjadikan Johor sebuah negeri maju beracuan sendiri, yang mengimbangi pembangunan ekonomi dan budaya tinggi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini. - Sinar Harian