Raja Muda Perlis berkenan sertai kayuhan bersama alumni UiTM Perlis, komuniti bandar

Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan kepada asnaf di PULAPOL ketika menyertai Program Kayuhan Basikal bersama peserta Persatuan Alumni UiTM Perlis dan ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus, Kuala Lumpur, 17 Jan 2026. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai Program Kayuhan Basikal bersama peserta Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus di sini semalam.
Ringkasan AI
- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyertai Program Kayuhan Basikal bersama peserta alumni UiTM Perlis dan ahli Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus di Kuala Lumpur.
- Tujuan program ini adalah untuk mempereratkan hubungan antara Raja Muda Perlis dengan rakyat melalui aktiviti ramah mesra dan kayuhan basikal di beberapa lokasi terpilih.
- Program tersebut turut disertai oleh selebriti Amar Baharin dari kumpulan TTG yang kerap menjalankan aktiviti amal bersama Raja Muda Perlis, sebahagian dari usaha untuk membina komuniti yang sihat dan bersosial.
Sepanjang program, Tuanku Syed Faizuddin berkenan beramah mesra dan menyaksikan aktiviti Demonstrasi Menembak di Lapangan Sasar PULAPOL serta menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf PULAPOL.
Baginda kemudian meneruskan kayuhan ke destinasi terakhir di Kebun Bandar Sungai Bunus bagi beramah mesra serta melihat aktiviti perkebunan di bawah kelolaan pemegang taruh kebun bandar berkenaan.
Raja Muda Perlis turut berkenan menanam pokok mangga harumanis di plot Kebun Sungai Bunus.
Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah berkata program kayuhan berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Alumni UiTM Perlis dan Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus untuk membina komuniti yang sihat dan bersosial.
Beliau berkata pihaknya turut menerima sokongan pelbagai agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Diharap pada masa depan, banyak lagi alumni UiTM akan datang menyumbang kembali kepada alumni," katanya kepada Bernama.
Selebriti Amar Baharin turut menyertai program berkenaan dan memaklumkan penyertaan itu adalah sebahagian daripada kumpulan TTG yang kerap mengadakan aktiviti amal bersama Raja Muda Perlis.
"Saya sebagai daripada TTG, kumpulan Tuanku yang hampir setiap bulan mengadakan aktiviti amal dari segi kayuhan atau aktiviti-aktiviti lain," katanya, sambil menambah program itu adalah penglibatan ketiga beliau dalam aktiviti kumpulan TTG sejak ia diadakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


