MALAYSIA
Raja Muda Perlis promosi kurma daging di Indonesia

Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) dan Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen (tiga dari kiri) berkenan memilih masakan daging kurma sebagai hidangan untuk diperkenalkan pada sesi Perlis Food Promotion di Indonesia. - Gambar Bernama
JAKARTA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mempromosikan makanan tempatan di Indonesia, khususnya kegemaran rakyat Perlis, bersempena dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) International Leadership Mobility (ILM) 2025 yang berlangsung di sini dan Bandung bermula dari 12 hingga 18 Sept lepas.
Baginda memilih masakan daging kurma sebagai hidangan untuk diperkenalkan pada sesi Perlis Food Promotion kepada pengusaha-pengusaha restoran dan para cef di beberapa hotel terkemuka di kedua-dua kota berkenaan.
Turut mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin serta Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto.
Pengurus Besar Holiday Inn Express Jakarta, Matraman Alldilah Arief Permadi berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dipilih untuk mempromosikan masakan itu dan berharap dapat menjadikan menu berkenaan sebagai sajian terbaharu di hotel mereka."Penyediaan masakan kurma daging ini tidaklah terlalu sukar kerana bahan-bahan yang digunakan lebih kurang sama dengan yang biasa kami gunakan di Indonesia. Ternyata rasanya juga sangat enak," katanya kepada Bernama.
Cef Eksekutif Food and Beverage Hotel Pullman Jakarta, Koay Chee Ming pula berkata, beliau sangat berbangga dan terharu kerana berpeluang menyediakan menu yang sangat dekat di hatinya yang juga berasal dari Malaysia.
"Kesudian Tuanku Raja Muda mempromosikan makanan Perlis di Indonesia sangat dihargai kerana perkembangan kulinari di Jakarta sangat pesat, jadi ia memberikan peluang kepada kami meneroka lebih banyak variasi menu," katanya.
Sementara itu, sepanjang UniMAP ILM 2025, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga masjid, iaitu Rian Maulana dan Masjid Istiqlal di Jakarta serta Masjid Al Jabbar di Bandung.
Baginda bertitah supaya pihak masjid mengukuhkan jaringan persaudaraan dan semangat kebersamaan, kerana kekuatan umat terletak pada kesatuan hati dan perpaduan usaha.
"Hanya dengan bersatu dan saling menyokong, kita mampu membina masa depan yang lebih gemilang dan dengan kesungguhan dan komitmen, kita mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi juga berakhlak mulia serta berwawasan global," titah baginda.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami