PHUKET (Thailand): Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat menyantuni masyarakat Islam di Coconut Island.

Turut berangkat anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Ketua Pegawai Eksekutif Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata lawatan itu adalah antara Program Ziarah Mahabbah 2022 bagi menyantuni masyarakat setempat sekitar Phuket.

"Beberapa program telah diadakan bagi masyarakat Islam di pulau ini antaranya kesedaran kesihatan untuk golongan wanita serta perkongsian motivasi kepada kanak-kanak dan warga emas," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Raja Muda Perlis, yang juga Yang Dipertua MAIPs, berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Masjid Coconut Island bagi usaha dakwah dan aktiviti agama di pulau itu.

Katanya lawatan itu juga sebagai pendedahan kepada Syed Sirajuddin Areeb berkaitan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Seramai 35 delegasi terdiri daripada Ahli Majlis MAIPs menyertai program tiga itu yang berakhir hari ini.

-- BERNAMA