JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Perpustakaan Kontena Bangsa Johor Bahagia (BJB) di Kangkar Pulai di sini hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar inisiatif berkenaan dapat diperluaskan ke kawasan lain.

"Saya harap dapat mengembangkan inisiatif perpustakaan kontena ini ke rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur serta kawasan lain di Malaysia agar memupuk tabiat membaca bahan-bahan yang bermanfaat dalam masyarakat," titah Raja Zarith Sofiah.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Hadir sama isteri Menteri Besar Johor Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latiff serta Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Dalam majlis sama, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) kepada Pengerusi Perbadanan Kenari Rosli Othman bagi kegunaan Komuniti BJB Pangsapuri Kangkar Pulai.

Pembinaan perpustakaan yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan YRZSNJ adalah untuk kegunaan penduduk setempat.

Raja Permaisuri Agong dan Che' Puan Mahkota turut berkenan melawat Laman Fertigasi Cili BJB, Flat Kenari bagi memetik hasil tanaman cili yang diusahakan oleh komuniti BJB selain beramah mesra bersama penduduk sebelum berangkat pulang.

Menurut hantaran itu, Program Bangsa Johor Bahagia yang dilaksanakan sejak 2019, bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup golongan miskin bandar dengan melibatkan penduduk pelbagai peringkat umur dalam aktiviti kemasyarakatan dan sekali gus mengelakkan penularan gejala sosial.

Program perintis ini dinaungi dan dibiayai oleh YSIJ dan YRZSNJ, serta dilaksanakan dengan kerjasama UTM, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta penduduk setempat.

"Antara hasil pencapaian daripada Program BJB ini, Komuniti Flat Kenari Kangkar Pulai mengungguli pertandingan video pendek anjuran MBIP bersempena Hari Kemerdekaan pada tahun 2021 serta diiktiraf dalam Anugerah Kejiranan Hijau Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada 2020.

Program ini turut mencapai pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pencapaian Perancangan oleh Persatuan Perancang Komanwel (CAP), hasil kejayaan Projek Pertanian Komuniti di Pangsapuri Kenari," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA