JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lagi suspek yang juga rakan kepada isteri yang dipercayai memukul suaminya sehingga maut di Flat Nipah, Taman Daya, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di kawasan Majidee di sini, kira-kira jam 10 malam, semalam.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Suspek mempunyai lima rekod  lampau iaitu dua kes berkaitan dadah, dua kes berkaitan jenayah dan satu kes berkaitan jenayah komersial.

"Suspek dan isteri mangsa didapati di bawah pengaruh dadah ketika kejadian," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, bagi permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya suspek direman tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

BACA: Suspek bunuh suami direman tujuh hari

Pada Jumaat, seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam kejadian di Flat Nipah, Taman Daya kira-kira jam 7.50 pagi.

Mangsa ditemukan maut terbaring dengan bahagian muka dan kepala mengalami kecederaan itu, di dalam rumah berkenaan.