MALAYSIA
Rakyat Malaysia perlu bergerak ke tahap seterusnya untuk saling hormat menghormati - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah (tiga,kanan) ketika merasmikan Wisma Huazong, hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia komited untuk memerangi habis-habisan terhadap sebarang bentuk keganasan dan juga sikap perkauman dan keagamaan melampau bagi mengekalkan keamanan, keharmonian dan keselamatan di negara ini.
Perdana menteri berkata berita mengenai siri serangan ganas di tempat-tempat seperti Paris, Istanbul dan yang terbaru di Jakarta telah mengejutkan rakyat Malaysia dan masyarakat lain di seluruh dunia.
"Ini menunjukkan bahawa keamanan dan keharmonian merupakan komoditi yang begitu berharga yang mana kita tidak boleh mengambil sikap tidak menghargainya," katanya ketika merasmikan Wisma Huazong di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.
Beliau menegaskan satu-satunya cara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian adalah supaya semua anggota masyarakat di negara ini bekerjasama bagi mencapai matlamat itu.
Katanya rakyat Malaysia yang pelbagai kaum perlu bergerak ke peringkat seterusnya untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain termasuk apabila menggunakan platform media sosial.
"Kita tidak boleh gunakan media sosial untuk mentertawakan orang lain, untuk mempersenda satu sama lain, kata Najib sambil meminta rakyat Malaysia supaya berusaha bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu, adil dan progresif.
"Adalah penting bagi kita untuk yakin kepada Malaysia kerana kita telah banyak mencapai kejayaan berbanding di peringkat awal kita bermula, namun perjalanannya masih jauh," katanya.
Sementara itu, perdana menteri menggalakkan lebih ramai ahli perniagaan Cina untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat Bumiputera bagi menubuhkan perusahaan perniagaan.
"Jika kita dapat menyemai semangat bekerjasama dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, kita akan dapat memecahkan benteng antara pelbagai entiti kaum," katanya.
Sementara itu, Najib mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta kepada Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) bagi menjalankan kegaiatan mereka.
Turut hadir pada perasmian bangunan berharga RM85 juta itu ialah presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan presiden Huazong Tan Sri Pheng Yin Huah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami