Penyatuan UMNO-Pas bukan sahaja mendapat kepercayaan dan sokongan dari bangsa Melayu-Islam malah kaum-kaum lain.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keyakinan itu terbukti dengan tiada penafian hak dan bantuan kepada semua.

Jelasnya, ia sekali gus ramuan keharmonian dan keamanan yang sudah berjaya dikekalkan selama lebih 60 tahun sebelum ini.

“Ini merupakan suatu mesej kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa ummah telah bangkit dan bersama-sama kami dalam perjuangan ini.

“Rakyat mulai sedar akan penyatuan ini bakal membawa suatu makna yang amat bermakna kepada negara dan Islam khususnya.

“Rakyat sekali lagi telah memberi kepercayaan dan memilih gabungan ummah pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Kerjasama Pas-UMNO bakal 'tumbangkan' PH - Penganalisis politik

BACA: Isyarat jelas rakyat tidak puas hati pentadbiran PH - Annuar Musa


Pada Sabtu, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, parti itu akan meneruskan kerjasama politik dengan UMNO pada PRK.

Malah katanya, untuk jangka panjang, ia akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berterima kasih kepada seluruh pengundi-pengundi dan jentera yang telah bersama-sama dalam perjuangan ummah sehingga berjayanya Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mempertahankan kerusi DUN Rantau.

“Kemenangan ini bukan kemenangan mutlak UMNO, ia adalah hasil penyatuan dan sokongan tanpa berbelah bahagi dari rakan ummah, Pas yang bersungguh-sungguh membantu kita, ia amat bermakna

“Kemenangan ini juga hasil kerja keras dari rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN). Tahniah dan terima kasih,” jelasnya.

Terdahulu, BN berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Rantau selepas Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berjaya memperoleh majoriti 4,510 undi.

Mohamad, 63 tahun, menewaskan tiga pencabarnya - calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, 60 tahun, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51 tahun, dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67 tahun.

BACA: Tok Mat kekalkan kerusi DUN Rantau

Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.