KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin di Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung selama 40 minit hanya dijalankan kira-kira 20 minit.

Tempoh masa yang pendek itu susulan kebanyakan Ahli Parlimen yang membangkitkan soalan sama ada tidak hadir atau tidak lagi berada di dalam Dewan ketika sesi penggulungan tersebut.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menasihatkan semua menteri hanya menjawab soalan Ahli Parlimen yang masih berada di Dewan atau perkara yang difikirkan penting.

Ikuti perkembangan dan corat-coret sidang Parlimen di sini

Nasihat itu dibuat memandangkan sembilan kementerian dijadual menggulung pada Selasa namun masa dilihat agak suntuk.

Berpandukan nasihat itu, Zuraida dilihat mengetepikan beberapa kertas soalan daripada Ahli Parlimen dan hanya menjawab soalan daripada Teresa Kok (PH - Seputeh) yang masih berada di kerusinya.

“YB (Yang Berhormat) Rompin, Baling dan Sik, ketiga-tiga pun tiada dan jawapan itu saya dah jawab pagi tadi. Juga jawapan kepada Rompin, Baling, tiada. Hang Tuah Jaya pun tiada, dah bertuah dah.

“Isunya tidaklah begitu ada keperluan untuk saya menjawab. YB Julau? Tiada. YB Kota Kinabalu ada? Pun tiada, sudah balik Kota Kinabalu mungkin. Jawapan kepada YB Betong? Pun tiada.

“YB Machang? Pun tiada, dah tolong kempen. Hanya YB Seputeh yang ada, last one. Alhamdulillah,” katanya pada Sesi Penggulungan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat pada Selasa.

Bukan hanya beliau, penggulungan melibatkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad juga berlangsung kira-kira 20 minit selepas ramai Ahli Parlimen bertanya soalan sudah tiada di Dewan.

Bahkan, penggulungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum itu juga tidak sampai 40 minit.

Yang Dipertua Dewan Rakyat tegur Ahli Parlimen