MALAYSIA
Rangka manusia ditemukan di rumah kayu usang di Teluk Intan

Siasatan awal polis di lokasi kejadian dengan bantuan pihak bomba, menemukan rangka tengkorak bersama seekor anjing dan barang-barang peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah. - Foto IPD Hilir Perak
IPOH: Polis menemukan satu rangka manusia di dalam sebuah rumah kayu lama dua tingkat di Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata rangka berkenaan dijumpai selepas pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 78 tahun, yang memaklumkan terdapat bau busuk di lokasi berkenaan.
"Pihak polis menerima satu laporan pada 2.24 petang daripada seorang lelaki yang ingin melawat adiknya iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 75 tahun dan mendapati terdapat bau busuk di rumah itu.
"Pengadu tidak dapat naik ke tingkat atas kerana tangga kayu telah reput. Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan semalam.Beliau berkata bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak pergi ke lokasi kejadian.
"Siasatan awal yang dijalankan di lokasi kejadian dengan bantuan pihak bomba, menemukan rangka tengkorak bersama seekor anjing dan barang-barang peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah itu.
"Susulan itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat dan setakat ini maklumat diterima bedah siasat masih belum dibuat dan sedang menunggu panggilan daripada pakar forensik Ipoh," katanya.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Difahamkan, rangka itu dipercayai anak bongsu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Wah Keng Jooi yang berkhidmat pada tahun 1959-1964.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami