KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) bukan melibatkan persoalan agama atau bangsa, sebaliknya berkait rapat dengan integriti, akauntabiliti dan amanah yang diberikan kepada institusi berkenaan.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, kefahaman yang tepat mengenai isu RCI penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat khususnya pendeposit terhadap kewibawaan dan kemampanan TH.
Jelasnya, TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan biasa kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan urusan umat Islam menunaikan ibadah haji, yang merupakan Rukun Islam kelima.
"Yang paling penting sekali adalah kita nak mengembalikan kepercayaan masyarakat dan pendeposit kepada TH.
"Ini kerana tanpa ada kepercayaan daripada rakyat, pendeposit, umat Islam dan bukan Islam terhadap kewibawaan TH, maka kita risau dan bimbang ia tidak dapat satu kemampanan bagi institusi tersebut," katanya ketika ditemui media selepas program Literasi RCI Tabung Haji anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan IKIM, di sini hari ini.
Turut serta dalam program berkenaan ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Mustakim Mohamad.
Mohamed Azam menambah program literasi berkenaan merupakan usaha IKIM dan MPI untuk memberikan kefahaman yang sebenar berhubung isu yang timbul, khususnya dari aspek agama, selain memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat mengenai RCI TH.
Katanya, langkah berkenaan turut bertujuan menjelaskan mengenai sebarang salah laku yang dikenal pasti serta tindakan susulan yang telah diambil pihak berkuasa termasuk dari aspek siasatan dan penguatkuasaan undang-undang.
"Tanpa kepercayaan masyarakat, pendeposit serta umat Islam dan bukan Islam terhadap kewibawaan Tabung Haji, kita bimbang ia tidak dapat mencapai kemampanan yang diperlukan," katanya.
Sementara itu, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata sesi literasi berkenaan penting bagi membantu pengamal media memahami isu RCI TH secara lebih mendalam, sekali gus membolehkan penjelasan yang tepat disampaikan kepada masyarakat.
Beliau berkata kerjasama antara MPI dan IKIM juga boleh diperluas menerusi program turun padang di lokasi lain bagi memberikan penerangan secara langsung kepada masyarakat mengenai isu serta masa depan TH.
"Saya rasa kalau kita turun padang di tempat lain, dengan kerjasama IKIM dan sebagainya, ini satu langkah yang lebih bijak supaya khalayak dan masyarakat mengetahui lebih lanjut mengenai perkara yang sangat penting ini.
"TH serta pelabur dan pendepositnya sangat penting kepada negara," ujarnya.
Pada Khamis media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 14 kertas siasatan dan menyerbu serta memeriksa 28 premis, sebahagian besar di Lembah Klang, berhubung siasatan laporan RCI TH
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, tiga daripada enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan sudah selesai sepenuhnya, dengan terdapat perakuan untuk pertuduhan dan perakuan Tiada Tindakan Lanjut (NFA), manakala tiga isu lagi berada pada peringkat akhir siasatan.
Ujarnya lagi, seramai 115 individu sudah dipanggil, ditemu bual dan dirakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.