Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Madinah tegas sampaikan perspektif peribadi, bukan cabar sesiapa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad menjadi ahli panel sempena Forum Musyawarah Nasional 2.0-Realiti dan Persepsi:Jangan Mempolitikkan Tabung Haji hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mempertahankan kenyataannya berhubung RCI Tabung Haji dan menegaskan pandangannya dibuat berdasarkan fakta serta pengalaman beliau.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad menegaskan beliau tidak berniat mencabar mana-mana pihak berhubung kontroversi berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang disampaikannya kepada umum hanya pandangan berdasarkan fakta yang diketahuinya.

Madinah berkata. beliau menghormati sepenuhnya siasatan RCI yang dijalankan pada 2022 dan tidak berhasrat memanjangkan polemik berhubung perkara itu.

"Saya tidak mahu mencabar sesiapa pun dalam perkara ini. Saya hanya memberikan perspektif yang benar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin, yang mendakwa beliau tidak bercakap benar berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan prosiding RCI berkenaan.

Menurut Madinah, Rashid berhak menyuarakan pandangannya sebagai seorang yang pernah menganggotai RCI tersebut.

"Beliau bercakap sebagai ahli RCI. Jadi saya tidak boleh menyangkal atau mencabar apa yang beliau katakan.

"Tetapi dari segi fakta dan perspektif, bagaimana beliau melihat sesuatu perkara dan bagaimana saya melihatnya, memang ada perbezaan," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa beliau tidak dibenarkan menyertai prosiding kerana hadir bersama Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan ketika itu, Mona Othman, Madinah menjelaskan kehadiran pegawai berkenaan hanya sebagai rujukan sekiranya terdapat keperluan mendapatkan penjelasan berkaitan aspek teknikal audit.

Katanya, Mona tidak pernah dimaksudkan untuk memberikan keterangan atau menjawab soalan bagi pihak beliau.

"Saya tidak pernah meminta supaya beliau dibawa masuk ke dalam bilik prosiding.

"Beliau hanya sebagai sumber maklumat sekiranya terdapat perkara teknikal berkaitan pengauditan yang perlu dirujuk. Mona merupakan anggota pasukan audit dan mengetuai salah satu pasukan auditor yang mengendalikan audit berkaitan TH," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar fakta berhubung perkara tersebut tidak disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi bahawa beliau mahu membawa pegawai berkenaan memasuki prosiding.

Dalam perkembangan sama, Madinah turut mempersoalkan tindakan menjadikan afidavit yang dikemukakannya sebagai pengganti kepada peluang memberikan keterangan secara lisan di hadapan panel RCI.

Menurutnya, walaupun afidavit berkenaan telah diserahkan dan diterima pada 1 April ketika itu, dokumen tersebut tidak seharusnya menggantikan sesi untuk beliau menjelaskan perkara berkaitan secara langsung.

"Memang saya ada mengemukakan afidavit, tetapi ia tidak boleh menggantikan hujah lisan. Mereka perlu mendengar sendiri apa yang saya hendak sampaikan.

"Seperti mana ahli-ahli RCI mendengar penjelasan lisan daripada individu lain yang dipanggil, hak untuk didengari juga perlu diberikan kepada saya," tambah beliau. 

Sebelum ini, ketika berucap pada forum "Musyawarah Nasional 2.0: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji" di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu, Madinah mendakwa beliau tidak diberi peluang untuk memberikan keterangan secara lisan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji walaupun telah disapina untuk menghadiri prosiding berkenaan.

Beliau turut berpendapat afidavit yang dikemukakan tidak seharusnya menggantikan sesi pendengaran lisan. 

Madinah dilantik sebagai Ketua Audit Negara bagi tempoh 23 Februari 2017 hingga 22 Februari 2019 berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selaras dengan proses perundingan bersama Majlis Raja-Raja.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan serta Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam, setiap amanah yang dipikul dilaksanakan demi kepentingan negara, termasuk ketika memegang jawatan Ketua Audit Negara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement