PUTRAJAYA: Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang khas Dewan Rakyat yang akan membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) pada 11 Ogos ini menerusi semua saluran rasmi kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata setakat ini dianggarkan antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen sudah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.
Beliau berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersetuju supaya sidang khas itu diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.
"Kita boleh ikuti siaran langsung dalam semua saluran rasmi sepanjang sidang khas Dewan Rakyat," katanya pada sidang media mingguan pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Rabu.
Laporan RCI berkaitan TH yang didedahkan kepada umum sebelum ini menggariskan 25 syor penambahbaikan.
RCI berkenaan ditubuhkan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021 bagi menyiasat isu-isu yang berbangkit berkaitan TH.