KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mengalu-alukan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035, namun percaya cadangan pelaksanaan peralihan daripada sistem jual kemudian bina (STB) kepada bina kemudian jual (BTS) memerlukan kajian teliti dan libat urus bersama-sama industri.
Presiden REHDA Datuk Zaini Yusoff berkata sebarang perubahan asas terhadap sistem penyediaan perumahan perlu mengambil kira implikasi terhadap keseluruhan proses termasuk kos pegangan, pembiayaan, aliran tunai, harga rumah dan bekalan.
“Perkara ini amat penting, khususnya bagi pemaju bersaiz kecil dan sederhana yang mungkin tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membiayai keseluruhan pembangunan sehingga siap,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, sistem STB sedia ada diguna pakai secara meluas dan telah menyediakan lebih 6.5 juta unit perumahan harus terus wujud bersama-sama BTS, jika sistem itu diperkenalkan.
“Sebarang peralihan ke arah BTS perlu dilaksanakan secara berperingkat, disokong oleh mekanisme pembiayaan dan kawal selia yang bersesuaian serta dilaksanakan melalui rundingan rapat dengan pemaju, institusi kewangan dan pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh perlindungan pembeli tanpa meningkatkan kos perumahan atau mengekang bekalan,” katanya.
Sementara itu, Zaini berkata tema DRN yang memanusiakan perumahan mencerminkan pegangan REHDA sejak sekian lama bahawa perumahan bukan sekadar menyediakan bangunan, tetapi juga rumah yang berkualiti, mampu milik, selesa didiami dan mampan untuk rakyat.
Beliau juga mengalu-alukan penekanan DRN terhadap perancangan perumahan berasaskan data termasuk penggunaan analitik data raya serta unjuran perumahan berdasarkan lokasi, bekalan sedia ada, kekosongan, jenis perumahan, pendapatan dan kategori harga.
“Data yang lebih baik membolehkan sektor awam dan swasta membuat keputusan lebih bermaklumat, terutamanya dalam memastikan perumahan mampu milik disediakan di lokasi dan pada harga yang betul serta mengikut permintaan sebenar selain mengurangkan ketidakpadanan permintaan bekalan serta unit tidak terjual,” katanya.
Zaini berkata REHDA juga menyokong fokus DRN yang lebih luas dalam mewujudkan kawasan kejiranan yang selesa didiami, meningkatkan integrasi antara perumahan dan pengangkutan, pembaharuan bandar serta piawaian perumahan yang lebih baik.
Cadangan integrasi dasar perumahan dan pengangkutan termasuk Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), menurut beliau sangat tepat pada masanya bagi memastikan kediaman dihubungkan dengan pusat pekerjaan, pengangkutan awam dan kemudahan asas dengan lebih baik.
-- BERNAMA