NATIONAL
Remaja dijangkiti rabies akibat kucing liar, kes pertama di Sarawak tahun ini

Pihak berkuasa tempatan juga sedang meningkatkan usaha untuk mengawal kucing dan anjing liar di kawasan sekitar secepat mungkin. - Gambar hiasan
KUCHING: Sarawak mencatatkan kes jangkitan rabies yang pertama dalam kalangan manusia bagi tahun 2025 melibatkan gigitan kucing liar pada bulan ini, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Ringkasan AI
- Sarawak mencatat kes rabies manusia pertama tahun 2025 melibatkan remaja 13 tahun yang digigit kucing liar; mangsa kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.
- Pihak berkuasa sedang giat mengawal populasi haiwan liar dan menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan jika digigit haiwan, kerana rabies sukar dipulihkan jika virus sudah menyerang otak.
- Persidangan Rabies di Borneo 2025 akan diadakan pada 30 Sept 1 Okt di Kuching, melibatkan penyertaan dari Sabah, Kalimantan, Brunei dan negara lain untuk berkongsi strategi membasmi rabies di rantau ini.
"Kebiasaannya apabila sudah sampai ke tahap ini, memang susah untuk pulih... kita telah mengambil langkah jaga-jaga dengan menangkap anjing-anjing liar di sekitar kawasan kejadian dan kucing liar itu telah pun disahkan mati," katanya dalam sidang media mengenai Persidangan Rabies di Borneo 2025, di Bangunan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Rundi berkata pihak berkuasa tempatan juga sedang meningkatkan usaha untuk mengawal kucing dan anjing liar di kawasan sekitar secepat mungkin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka mengenai ancaman jangkitan rabies dan segera mendapatkan rawatan hospital, sekiranya diserang haiwan seperti anjing dan kucing sebelum virus itu menyerang otak serta saraf.
"Tahun ini kita ada ambil 21 sampel kucing, dengan dua daripadanya disahkan positif rabies... Kebanyakan kes jangkitan yang digigit haiwan rabies dan mereka pergi segera ke hospital untuk rawatan suntikan mereka boleh pulih.
"Namun, kalau mangsa lambat ke hospital dan virus sudah sampai otak itu memang tidak dapat dipulihkan dan ia amat menyakitkan... itu yang kita nak elakkan," katanya.
Rundi berkata sebanyak 63,301 kes gigitan anjing, 57,210 kes gigitan atau cakaran kucing dan 1,832 kes gigitan haiwan lain, telah dilaporkan sejak 2017 sehingga minggu epidemiologi ke-20 tahun 2025 (11 hingga 17 Mei 2025).
Dalam pada itu, menteri berkenaan berkata Persidangan Rabies di Borneo 2025 yang memasuki edisi keempat tahun ini, diharapkan mencari penyelesaian untuk memastikan negara-negara di Kepulauan Borneo bebas daripada jangkitan rabies.
"Kita mahu lebih banyak pihak terlibat untuk memahami bahaya haiwan seperti anjing yang membawa virus rabies... jadi bagi persidangan kali ini kita menjemput Sabah, Kalimantan, Indonesia dan Brunei untuk berkongsi bagaimana untuk menangani isu ini.
"Kita juga menjemput negara yang berjaya memerangi rabies untuk berkongsi pengalaman mereka, seterusnya memastikan pihak kita melaksanakan polisi yang lebih berkesan," katanya.
Persidangan berkenaan berlangsung dari 30 Sept hingga 1 Okt ini Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami