LUMUT: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di KM221.5, Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan dekat Manjung, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kejadian sekitar jam 1 pagi itu melibatkan konvoi 10 motosikal dan sebuah lori.

Menurut beliau, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Changkat Chermin menuju ke Sitiawan.

"Ketika konvoi, kenderaan ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori yang sedang bergerak perlahan di lorong kecemasan.

"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa telah jatuh di laluan utama dan kemudian datang sembilan buah motosikal lain masing-masing ditunggang lelaki berusia 18 tahun hingga 23 tahun, tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa dan kenderaannya," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Hasbullah berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh penunggang lain mengalami kecederaan telah dirawat di Hospital Seri Manjung.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441.

"Pengguna jalan raya juga diingatkan lebih berhati-hati memandu kenderaan atau menunggang motosikal dan dinasihatkan jangan terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang dengan menunggang secara bahaya," katanya.

Terdahulu tular video dan gambar di media sosial memaparkan pelanggaran beberapa motosikal di lebuh raya hingga mengorbankan seorang individu. - Sinar Harian