ALOR SETAR: Suspek kes bunuh anak kandung berusia tiga bulan di Kampung Sungai Lintang, Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, di sini, disambung reman selama tujuh hari lagi bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, permohonan lanjutan reman dibuat pagi tadi di Mahkamah Alor Setar.

"Permohonan Perintah Lanjutan Penahanan Reman dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis merekod keterangan daripada ibu mangsa yang juga isteri suspek temasuk anak tiri berusia enam tahun.

"Turut dirakam keterangan adalah individu yang tinggal berhampiran termasuk imam masjid, peniaga dan adik beradik suspek," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, mayat seorang bayi berusia tiga bulan ditemui di atas katil di sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang.

Dalam kejadian itu seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga bapa kandung mangsa ditahan.

Ketika kejadian, isteri suspek berusia 22 tahun tiada di rumah kerana melarikan diri selepas bergaduh dan dipukul suspek.

Polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.