Semua restoran 24 jam di Johor Bharu diwajibkan melakukan kerja pembersihan selama enam jam seminggu, mulai September ini.

Datuk Bandar Majlis Perbandaran Johor Baharu (MBJB), Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata langkah itu diambil berikutan terlalu banyak aduan diterima mengenai tahap kebersihan restoran yang kurang memuaskan.

"Majlis sebulat suara menetapkan dalam seminggu mereka (pemilik restoran) mesti memperuntukkan masa selama enam jam untuk menjalankan kerja kebersihan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, sehingga kini, terdapat sebanyak 100 restoran yang menjalankan perniagaan seperti itu di daerah ini dan mereka perlu memilih hari melaksanakan peraturan baharu berkenaan dan memaklumkannya kepada MBJB.

Menurut beliau, MBJB juga akan menugaskan pegawai untuk memantau pelaksanaan bagi memastikan pemilik restoran mengikut arahan dan mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Abdul Rahman berkata, selain itu pihaknya juga telah memulakan kempen 'Perkasa Rumah Anda' sejak minggu lepas bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes di kawasan berpotensi.

"Pada 2014, jumlah kes denggi yang dicatat dalam kawasan ini ialah 1,623 dan ia sudah meningkat kepada 3,023 setakat 22 Ogos (tahun ini).

"Hal ini menyebabkan kita menerapkan 10 langkah dalam kempen termasuk mengadakan penguatkuasaan yang lebih agresif di tapak pembinaan, kawasan setinggan dan flat kos rendah," katanya.