LIPIS: Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna buat dua keluarga apabila impian mereka untuk memiliki rumah akhirnya menjadi kenyataan.

Rogayah Mat Zin, 50, yang tinggal di Kampung Ulu Teris dan Mazlan Hassan, 52,  di Kampung Peruang dekat sini adalah penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)  dengan kerjasama GiatMARA.

Bagi Rogayah yang juga ibu tunggal kepada empat orang anak, dengan adanya rumah itu, sudah pasti akan memberikan keselesaan buat dia sekeluarga.

Sebelum ini, dia bersama anak-anak terpaksa menumpang di rumah keluarga mertua selepas suaminya meninggal dunia akibat asma pada 2016.

Sepanjang tempoh itu juga, jara Rogayah, dia sudah berusaha memohon kediaman sendiri, namun, belum sampai peluangnya.

"Syukur penantian lebih enam tahun kini berakhir apabila rumah PPRT ini siap sepenuhnya. Ia cukup selesa untuk didiami kerana dilengkapi dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, tandas, bilik air dan ruang dapur," katanya.

Rogayah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dekat Kampung Ulu Teris di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

 Abdul Rahman Mohamad (kanan) beramah mesra dengan Mazlan Hassan dan keluarganya selepas penyerahan replika kunci kediaman baharu di bawah PPRT, Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Kampung Peruang, Lipis. – Gambar Astro AWANI

Berbeza pula dengan pengalaman Mazlan apabila rumahnya terbakar pada bulan Mei 2021 akibat litar pintas menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Mazlan berkata, dia bersama isteri dan tujuh orang anaknya cuma menumpang teduh di rumah jiran selepas kejadian tersebut.

"Mujurlah KPLB dan Ahli Parlimen Lipis prihatin dan cakna dengan kesusahan yang saya tanggung lalu diberi bantuan rumah baharu mula dibina pada bulan November tahun lalu dan siap pada bulan Februari tahun ini.

"Saya amat bersyukur kerana memperoleh kediaman baharu PPRT dan ini merupakan rahmat Allah SWT untuk keluarga saya sempena bulan Ramadan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Lipis berkata, kedua-dua  buah rumah PPRT masing-masing bernilai RM56,000 siap antara tempoh empat bulan untuk kedua buah keluarga tersebut bagi mereka memulakan kehidupan baharu di tempat tinggal yang selesa.

"KPLB sentiasa prihatin dengan kesusahan penduduk di luar bandar yang ditimpa bencana seperti kebakaran, banjir yang kehilangan serta kerosakan rumah mereka termasuklah ibu tinggal yang mengalami tekanan tanpa kediaman tetap," ujarnya.