Seawal jam 8.30 pagi lagi, para pengunjung mula beratur di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Bukan sahaja rakyat Malaysia pelbagai bangsa, malah pelancong asing turut sama hadir bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota jemaah menteri.

Pintu masuk yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang itu bakal menyaksikan sejumlah 50,000 pengunjung hadir.

Bagi memudahkan orang ramai untuk menghadiri majlis itu, perkhidmatan bas percuma bermula 9.30 pagi akan disediakan di tiga lokasi, iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Seri Perdana.

Orang ramai boleh meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki bas yang disediakan dan dinasihatkan agar menggunakan hentian bas yang sama untuk pergi dan balik.

Pelbagai juadah wajib Aidilfitri seperti ketupat, lemang, rendang, kuah kacang dan sebagainya lagi turut dihidangkan selain menu-menu unik seperti kambing golek, cendol dan pencuci mulut.